Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Seri Langkap telah diasaskan pada pertengahan tahun 2005 iaitu tanggal 12 Jun 2005 di Lot 5188 Sungai Tong Daerah Setiu. Diawal pembukaan sekolah, bilangan murid terdiri daripada 143 orang terdiri daripada Tahun 1 hingga Tahun 5. Murid-murid ini berpindah dari SK. Sungai Tong dan masuk ke sekolah ini. Murid-murid tersebut terdiri daripada penduduk dari Kampung Selamat, Taman Seri Intan dan Pekan Sungai Tong yang berhampiran.
Guru Besar yang pertama Encik Mohd Yatim bin Hassan. Beliau berkhidmat pada 1 Jun 2005 hingga 2 Februari 2009. Pada 3 Februari 2009, En. Mohd Hariri Bin Zakaria telah menggantikan En. Mohd Yatim bin Hassan sebagai Guru Besar. En. Mohd Hariri bertugas di Sekolah ini sehingga 7 Ogos 2009 dan telah diambil alih oleh En. Ismail bin Che Embong.
Perjawatan guru-guru yang diluluskan diawal pembukaan ialah seramai 12 orang, manakala pekerja swasta seramai 10 orang.
Sekolah ini mempunyai kelengkapan 24 bilik darjah dan kemudahan lain seperti pejabat, bilik mesyuarat, makmal komputer, bilik kaunseling, bilik kesihatan, pusat sumber, bilik urusetia peperiksaan, surau, tempat kemudahan berehat, kemudahan sukan dan lain-lain lagi.
Salah satu bangunan di sekolah ini ialah Prasekolah dan Program Pendidikan Khas Intergrasi bermasalah pembelajaran. Prasekolah telah diasaskan pada 2 Januari 2007. Pada awalnya, kelas prasekolah masih dalam pembinaan. Tanggal 10 Jun 2007, Prasekolah siap dibina dan telah dirasmikan oleh Guru Besar pertama sekolah ini iaitu Tuan Haji Mohd Yatim bin Hassan dan mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin oleh imam Masjid Sungai Tong, guru-guru dan juga ibu bapa. Pada awalnya Prasekolah mempunyai 21 orang murid dengan seorang guru dan dibantu seorang PPM dan terbuka kepada kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun.
PPKI diasaskan pada tahun 2007 dengan bilangan 7 orang murid dan 3 orang guru. Pada tahun 2008, bilangan murid bertambah iaitu seramai 9 orang dan pada tahun 2008 dan terus meningkat pada tahun 2009 sehingga 11 orang murid. Pada tahun 2010, bilangan murid berkurangan seramai 2 orang kerana melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dan bertukar ke sekolah lain. Pada tahun 2011 pelajar makin berkurangan kepada 7 orang kerana melanjutkan ke sekolah menengah. Pada pertengahan Januari 2011 murid bertambah kepada 9 orang dan kekal sehingga kini dibantu oleh 3 orang guru dan 1 orang pembantu.